- Latest in kereta dot info Malaysia :
  • Wheel Size Vs Tyre Size: Which Tyre Size Best Or Suitable For Your Sport Rim Width? – Saiz Tayar Dan Rim Sesuai
  • PUTRAJAYA CELL CITY CAR BY UPM

    Have you heard about the Putrajaya Cell City Car (PCCC) before?.Let’s read more information about it by Mazlina Abdul Majid and Nadzarul Amir Zainal Azam from Kosmo below.

    ———————————–

    ” Barangkali ramai yang bersetuju dengan pandangan ini. Tempat-tempat parkir di Putrajaya yang menjadi pusat pentadbiran negara sejak tahun 1999 makin sesak hingga tidak berkeupayaan menampung tetamu kerajaan lagi. ”

    Bahkan, tempias kepada dilema itu turut terkena kepada pekerja agensi kerajaan yang bekerja di sana.

    Timbul juga suara-suara nakal yang mengatakan kesesakan parkir di Putrajaya itu menyamai dengan hiruk-pikuk dan kepadatan bandar raya Kuala Lumpur.

    Idea kepada sistem Park & Ride yang diwujudkan Perbadanan Putrajaya (PPj) pula dipandang sepi dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Usaha selanjutnya, PPj memutuskan tiada lagi tempat letak kereta percuma di Kompleks A, B, C, D dan E. Biarpun dua langkah itu belum berjaya secara menyeluruh, usaha itu sangat dihargai.

    Namun, bagi sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), senario kepayahan mendapat tempat letak kereta tersebut menyuntik inspirasi dalam penciptaan kenderaan baru yang bakal mengubah wajah Putrajaya.

    Enam pereka anak tempatan menghasilkan sebuah model kereta kompak elektrik berteknologi tinggi untuk membantu mengurangkan masalah kekurangan parkir di Putrajaya. Dengan saiz kereta yang lebih kecil, jumlah tapak parkir dapat digandakan.

    Ketua Penyelidiknya, Sazrinee Zainal Abidin, 33, berkata, pembikinan kereta dengan mengetengahkan konsep futuristik yang dikenali sebagai Putrajaya Cell City Car (PCCC) bertujuan untuk mengurangkan masalah parkir yang semakin kritikal di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

    “Sebagai contoh, ruang parkir untuk 500 buah model kereta biasa pada hari ini, boleh menampung sehingga 1,000 buah PCCC,” ujar Sazrinee yang membayangkan kemungkinan itu jika warga Putrajaya memiliki model ciptaannya.

    PCCC mempunyai tiga tayar iaitu dua di hadapan manakala satu lagi di bahagian belakang kereta. Ia direka sedemikian rupa untuk memberi momentum perjalanan yang sekata dan memastikan pengendalian dengan lebih stabil sepanjang masa.

    “Dalam pada itu, reka bentuk PCCC yang bersifat futuristik dijangka mampu memenuhi permintaan pengguna yang sentiasa dahagakan sesuatu yang terkini dan canggih.”

    “Dari segi saiz pula, kereta kompak mesra alam ini mempunyai persamaan dengan jentera antarabangsa Smart keluaran Mercedes Benz dan kereta tempatan Perodua Kancil,” kata Sazrinee.

    Meskipun bersaiz kecil, kenderaan elektrik itu dianggarkan mampu memecut sehingga mencecah kelajuan 150 kilometer (km) sejam.

    “Melalui penyelidikan yang dibuat, ia mencetuskan idea untuk mencipta kenderaan serba moden. Selain isu parkir, kereta ini mudah dikendalikan dan selesa dipandu di kawasan urban seperti Putrajaya.”

    “Kereta elektrik ini juga mampu menakluk kawasan berbukit-bukau dan bersimpang-siur sekali gus menjadikannya sebuah kenderaan yang unik,” beritahu penyelidik wanita ini.

    KERETA MESRA ALAM

    Kehebatan kereta kompak itu bereksprimentalkan mesra alam kerana tidak bergantung kepada sumber petrol mahupun diesel.

    Penekanan terhadap mesra alam merupakan antara kriteria penting dalam pembikinan kereta kompak itu jika dibandingkan dengan kereta kompak yang lain.

    Selain Sazrinie, pereka-pereka lain yang turut menggembleng tenaga dan idea termasuklah penuntut di Fakulti Seni Bina dan Reka Bentuk, Mohd. Amil Faesal Fauzi, 27; dan kumpulan pensyarah dari fakulti terebut iaitu Mohd. Shahrizal Dolah, 38; Shahrul Azman Shahbudin, 43; Muhamad Faizal Che Leh, 37 serta Dr. Zulkifli Muslim, 49.

    Dalam mengartikulasikan ilham reka cipta kereta serba canggih dan mesra alam itu, anak-anak tempatan tersebut mengambil masa kira-kira lebih kurang setahun.

    Seperti penghasilan produk-produk baru yang lain, mereka juga tidak terkecuali dalam berdepan dengan cabaran dan dugaan.

    Cabaran utama adalah bagi memastikan keselesaan dan kesesuaiannya reka bentuknya kepada pengguna kelak.

    Mereka perlu mengutamakan penggunaan teknologi hijau dalam pembikinan kereta kompak berkenaan agar ia bersesuaian dengan keperluan tenaga masa hadapan.

    “Menyedari kereta elektrik dilihat bakal menjadi teknologi kenderaan pada masa hadapan, penggunaan sumber elektrik ditekankan dalam pembikinan kereta ini.”

    “Penggunaan sumber bateri pada kereta kompak ini juga mampu bertahan selama 48 jam. Jadi pengguna boleh menggunakan jentera berkenaan selama dua hari tanpa perlu mengecasnya semula,” ujarnya.

    Kata Sazrinie, pengeluar kenderaan turut memberi perhatian dalam memulihara alam sekitar dan secara tidak langsung mereka mengeluarkan kenderaan kos efektif kepada pengguna.

    Dalam pada itu, Sazrinee menegaskan aspek keselamatan merupakan perkara yang dititikberatkan.

    KOS EFEKTIF

    Ujarnya, aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan dalam pembangunan dan penyelidikan jentera seperti kereta kompak ini supaya ia selamat digunakan.

    “Kita tidak melupakan aspek penyelenggaraan yang kos efektif kerana tidak mahu membebankan orang ramai yang ingin menggunakan jentera itu kelak,” katanya.

    Adakah kenderaan elektrik itu dihasilkan untuk kegunaan penduduk atau mereka yang bekerja di Putrajaya sahaja?

    Sazrinie menjawab, buat masa ini sasaran mereka hanya tertumpu di bandar itu tetapi ia akan berubah sekiranya ada permintaan daripada pengguna.

    “Kita tidak boleh meramal masa hadapan tetapi jika ada permintaan tidak mustahil ia digunakan di tempat lain selain di Putrajaya,” ujarnya.

    Menyentuh mengenai bahan-bahan yang akan digunakan dalam pembikinan PCCC, Sazrinee memberitahu, ia masih dalam peringkat konsep mereka bentuk.

    Sehubungan itu, aspek reka bentuk masih ditekankan untuk memenuhi kriteria keperluan dan profil bandar Putrajaya pada masa hadapan.

    Bahan-bahan yang bakal digunakan masih di peringkat kajian untuk memastikan kesesuaian tersebut. Secara keseluruhannya, kenderaan itu masih belum dihasilkan tetapi hanya model mini telah disiapkan.

    Please follow and like us:

    iz

    Majalah kereta Malaysia Test drive review Review kereta di Malaysia

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

    error

    Please spread & share :)