- Latest in kereta dot info Malaysia :
  • AUDI TIOMAN GREEN – WARNA SEMPENA NAMA PULAU TIOMAN MALAYSIA
  • PROTON X70 SUV 1.8 TGDI REVIEW – RM123K TAK BERBALOI?

    Ramai yang bertanya berbaloikah Proton X70 ini? Sekarang baru ada masa nak komen pasal review X70 kereta SUV pertama proton buatan China ini. Proton sekali lagi melakukan aktiviti “rebadge” seperti ini dengan harapan dapat menarik pembeli X70 dalam segmen SUV.

    PROTON X70 REVIEW

    PROTON X70 REVIEW

    HARGA PROTON X70

    Setakat ini, nampaknya memang mendapat sambutan namun kami rasa Proton gagal dalam 1 perkara apabila meletakkan harga yang agak mahal. Kenapa kami kata begini? Kerana pada harga RM123k, rakyat Malaysia mempunyai banyak pilihan lain terutama dari pencabar kereta import.

    Ya, memang Proton X70 ini berada pada segmen SUV kelas C seperti Honda CRV 1.5TC yang berharga RM30k lebih mahal. Namun adakah anda sanggup melaburkan duit anda sebanyak RM123k untuk sebuah kereta nasional yang dibuat di China?

    Sedangkan anda boleh mendapatkan kereta import Japan atau Korea yang lebih terbukti berkualiti dan mempunyai jenama yang “desireable” walaupun ia pada segmen yang lain. Ataupun, dengan harga sebegitu, anda sudah mampu memiliki sebuah kereta continental terpakai seperti BMW 3 series, X1, Audi A4 mahupun Q3.

    Bukan kami nak kata yang kereta Proton X70 ini tak bagus. Cuma harga yang diletakkan itu tidak cukup mampu untuk mencuri tumpuan pembeli. Kalau harga yang ditawarkan seperti di Langkawi iaitu serendah RM85K bagi model standard & RM107K bagi model Premium, nescaya ramai terasa tergugat iman nak booking Proton X70 kerana harga sebegitu sememangnya berbaloi. Silap-silap habis 50% market share SUV Proton sapu!

    Tambah lagi apabila ada yang terfikir nak beli Honda HRV (SUV kompak paling laris) mesti akan berfikir “baik aku sambar X70 dengan harga yang lebih kurang sama, aku dapat SUV lagi besar & power” dan bakal pembeli Honda Civic (sedan segmen C terlaris) akan kata “Ni kalau ambil SUV X70 lagi nampak rugged, mewah & bergaya”.

    Lagipun, kereta proton sepatutnya dihasilkan sebagai kereta rakyat yang mampu dibeli dengan harga jauh lebih munasabah kerana terdapat pengecualian cukai yang banyak berbanding dengan kereta import. Selalunya pembeli model kereta nasional ini dari golongan yang tidaklah terlalu kaya.

    Apabila mereka sudah mampu untuk membeli sebuah kereta berharga lebih RM100k, adakah mereka akan fikirkan kereta Proton untuk dibeli setelah sekian lama menggunakan kereta nasional? Tidak sama sekali dan kami juga tidak akan recommend sesiapa untuk teruskan membeli kereta nasional dengan harga yang mahal.

    PROTON X70 RESALE VALUE

    Bayangkan resale value Proton X70 ini, setelah setahun dua, pembeli kereta terpakai dah boleh borong Proton X70 ini dengan harga jauh lebih murah kerana X70 terpakai tidak akan mampu bersaing dengan kereta import terpakai pada harga RM100k+-. Tengok saja nasib Proton Perdana rebadge Accord (Accordana), walaupun ia sebuah kereta rebadge dari model Jepun, tetapi ia tidak mampu mengekalkan resale value yang baik dan terpaksa dijual dengan harga sangat murah pada pasaran kereta terpakai. Inikan pula kereta model buatan China.

    PROTON X70 SPECIFICATION YANG BERBALOI?

    Jadi, bagi kami, jika anda minat juga untuk membeli Proton X70 ini, variant yang paling berbaloi adalah proton X70 standard 2WD pada harga RM99.8K. Sebab apa? Dengan perbezaan harga yang membolehkan anda membeli sebuah Perodua Axia lagi untuk isteri pergi balik hantar anak ke sekolah, Proton X70 full spec Premium hanya berbaloi bagi orang yang gilakan gadget & features yang advance seperti Voice Command dan lain-lain yang bagi kami tidak penting sama sekali kerana model Standard masih mempunyai enjin yang sama, saiz kereta yang sama, pemanduan yang sama, design yang sama serta keselesaan yang sama.

    Malah dengan berat kereta kurang 30kg berbanding X70 premium & tayar bersaiz 17 inch (berbanding tayar nipis 19 inch) yang lebih empuk memberikan perjalanan lebih selesa. Dari segi maintenance juga lebih banyak kurang kerana tayar yang lebih murah, lampu depan bukan LED juga lebih murah diganti, cermin depan tanpa sensor hujan juga lebih murah untuk diinsuranskan dan banyak lagi yang tidak akan memeningkan kepala jika salah satu dari features premium itu bermasalah.

    Berdasarkan pemerhatian kami, features voice command hanyalah satu “hype” untuk “show off” sahaja kerana ia tidaklah begitu efisyen dan praktikal. Sebagai contoh, jika anda menyuruh “Hi Proton, driver window down” akan menjadi lebih lambat berbanding anda menekan butang power window terus secara manual.

    Sepatutnya simbol “auto hold” perlu dibesarkan dan diletakkan di atas supaya pemandu tidak tercari-cari indication ini yang menunjukkan brek sudah mencengkam semasa di traffic light dan pemandu boleh melepaskan pedal brek. Features yang lebih penting seperti power tail gate sepatutnya ditawarkan pada model premium kerana ianya lebih praktikal.

    PANDANGAN DARI TEST DRIVE REVIEW PROTON X70?

    Selain itu, dari pandu uji yang dilakukan pada Proton X70 Premium, kami mendapati kesan hentakan pada permukaan jalan berlubang memberikan anda sensasi gegaran gempa yang menakutkan apabila ianya menggunakan alloy wheel atau sport rim bersaiz 19 inch dengan tayar nipis berprofil rendah yang tak mampu menyerap hentakan dengan baik sebagai sebuah SUV.

    Kami yakin model standard Proton X70 dengan saiz tayar lebih tebal lebih mempunyai serapan hentakan atas jalan Malaysia darul lubang yang lebih baik kerana itu adalah karakter sebenar sebuah SUV yang sepatutnya. Seharusnya mampu dipandu dengan lasak di atas permukaan jalan yang tidak rata bukannya untuk kegunaan di atas lantai ruang tamu rumah anda.

    Tayar nipis pada sebuah SUV juga lebih mudah untuk pecah jika terlanggar lubang di sekitar negeri Selangor ditambah dengan berat yang melebihi berat badak sumbu dewasa (1500kg) iaitu pada hampir 1700kg yang jauh lebih berat dari SUV lain dalam kelasnya. Dan baru-baru ini kami digemparkan oleh seorang pemilik X70 yang menukar sport rim berbibir ala-ala VIP dengan tayar nipis. MasyaAllah.. Maaf cakap sungguhlah buruk padanan tersebut dan menakutkan jika bibir rim tersebut terlanggar sesuatu.

    BAGAIMANA PULA DENGAN PROTON X70 INTERIOR & EXTERIOR?

    Baiklah, kita ke bebelan yang lebih serius.. Exterior Looks, kami bagi skor 5 star! Memang cantik depan belakang dan tepi. Front Bumper PROTON X70 lebih rugged dan ramai yang cakap seperti Range Rover. Side profile juga menarik dan tidak mempunyai rekaan membosankan. Rear Bumper dilengkapi diffuser dan lampu kabus, cukup lengkap dan tak perlu lagi diubahsuai. Cuma bagi kami, jika ada logo harimau tu lagi cantik kan.

    Dari segi tayar, pilihan tayar 17 inch & 18 inch lebih praktikal berbanding 19 inch. Rekaan sport rim nya juga sudah cukup menarik. Tidak perlu rim ala-ala VIP berbibir. Semua model tidak didatangkan dengan body kit. Untuk sebuah SUV, tidak perlu bodykit lain untuk modifikasi. Cukup dengan menukar sport rim yang lebih ganas dan menambah side step pada sisi kereta.

    Head Lamp dilengkapi DRL bagi model Exec ke atas yang akan padam apabila signal diberi seakan ciri kereta mewah. LED headlamp memberi penglihatan lebih jelas pada waktu malam namun pada waktu hujan, halogen lamp lebih jelas.

    Kedudukan Tail Lamp agak tinggi dan jauh dari diffuser memberikan pandangan sedikit pelik dan kosong pada bahagian belakang tengah. Namun rekaan Tail Lamp melintang sememangnya cantik dengan pencahayaan LED.

    Interior looks kami bagi skor 5 star juga. Material dashboard yang lembut nampak mewah dan eksklusif. Cuma resolusi Speedometer Instrument Cluster agak kurang. Rekaan flat bottom Steering Wheel yang cantik dan sedap dipegang. Gear Console lebih tinggi bersambung dengan center dashboard memudahkan pemandu mencapai butang-butang di dashboard.

    MASALAH PROTON X70

    Masalahnya kedudukan Multimedia Player Screen yang terletak agak jauh ke bawah dari aras mata pemandu menyukarkan pandangan dan screen yang mendongak menyebabkan gangguan yang terlalu banyak dari pantulan pokok-pokok di luar. Storage Compartment, tiada masalah kerana X70 memberikan banyak ruang menyimpan di drawer dan door panel. Sound System juga cukup baik dengan lebih banyak speaker diletakkan terutama pada model premium.

    Sunroof pada model premium juga tidak praktikal kerana bidai sunroof yang ada pada proton X70 berwarna cerah dan ditembusi cahaya. Jadi jika anda tidak memasang tinted pada sunroof, suhu panas dari terik matahari meresap masuk ke kabin. Bayang-bayang pokok yang menembusi sunroof juga mengganggu pemanduan.

    Front Seat memang sangat selesa dengan rekaan sporty ala-ala Audi RS cobra seat. Manakala Seat belakang juga cukup selesa untuk perjalanan jauh.

    Masalah besar adalah Arm Rest yang tidak adjustable seperti kebanyakan SUV. Arm Rest yang ‘fix’ dan tidak boleh dikedepankan atau dinaikkan tidak dapat memberikan pemanduan sempurna selesa. Secara keseluruhan Build Quality cukup baik bagi SUV kelas C.

    Legroom & Headroom juga luas namun kurang sedikit dari keluasan Honda CRV. Boot Space nampak kecil kerana boot floor agak tinggi yang memakan ruang penyimpanan belakang. Ketinggian ini juga menyukarkan proses pemindahan barang ke dalam boot belakang.

    PROTON X70 PERFORMANCE & FUEL CONSUMPTION

    Dari segi performance kami bagi skor 4 star, dengan output figure 184 horsepower & 285Nm torque, kami rasa ianya cukup baik untuk menarik X70 dari 0-100kmh dalam 11+ saat namun kuasa sebenar yang dihamburkan bersama 6 speed Auto gearbox ini tidak seperti nilai yang diberi.

    Sepatutnya output figure seperti itu mempunyai kesan torque yang lebih ganas dan memuaskan tapi tidak pada X70. Mungkin faktor gearbox yang agak malas dan berat kereta yang berlebihan mempengaruhi prestasi SUV ini.

    Turbo unit yang lambat spool juga mempengaruhi respon engine. Enjin perlu mengaum lebih 1700 RPM bagi memberikan torque yang dikehendaki. Tidak seperti kereta berenjin turbo lain yang mampu memberikan kuasa dari serendah 1300 RPM.

    Jadi, setiap kali anda mahukan kuasa, ia akan mengambil masa ditambah lagi dengan gearbox yang perlu turun jauh ke gear 3 atau 4 dari gear 6. Namun apa yang bagus, X70 berjaya menyembunyikan bunyi deruman enjin dan gearbox tersebut seolah-olah ia mempunyai enjin yang “smooth” dan tidak meraung.

    Gearbox yang agak lambat ini dikecewakan lagi dengan ketiadaan paddle shifter pada steering. Walaupun sports mode ada, tombol gear tiptronik +- tidak dapat memberikan kepuasan pemanduan sporty.

    Berdasarkan data pengguna X70, Fuel Consumption bagi SUV bernadikan 1.8 TGDI turbo ini kurang memuaskan pada tahap melebihi 10 liter bagi setiap 100km atau kurang 10km per liter RON 95.

    Sekali lagi, berat SUV ini dan ketidakcekapan transmisi yang mengawal pengeluaran kuasa memainkan peranan. RPM pada masa cruising juga tidak serendah seperti jentera turbo lain. Ini juga memberikan kesan pada penggunaan minyak.

    PROTON X70 RIDE & HANDLING BAGUS ATAU TIDAK?

    Dari segi Ride & Handling, skor 5 star pada keselesaan & skor 4 star pada pemanduan. Kereta ini memang tiada langsung ciri sebuah Proton. Kereta Proton selalunya mempunyai keseimbangan antara comfort & sharp handling.

    Suspension sedikit keras dengan body roll terasa sedikit semasa corner. Mampu menyerap alunan jalan cuma kurang mampu menyerap permukaan jalan tak rata kerana saiz tayarnya tidak sesuai.

    Steering feel sharp dan terasa berat pada halaju tinggi namun terlalu ringan pada kelajuan dalam bandar. Terlalu ringan dan tidak padan pada sebuah SUV, ianya lebih sesuai pada City car. Memandu di dalam kawasan bandar seperti memulas steering Myvi lama. Tiada rasa seperti SUV.

    Noise insulation – ini adalah bidang yang patut diberi pujian melangit kepada Proton-Geely kerana cabin noise di dalam Proton X70 ini sangat rendah. Bunyi paling senyap berbanding SUV import dalam kelasnya. Ini juga memberikan rasa premium semasa memandu X70. Ia boleh dikatakan sebagai sebuah “premium cruiser”.

    Itu sahaja bebelan kami pada kali ini. Kesimpulannya, tepuk poket tanya sama ada berbaloikah X70 ini untuk anda beli? jika anda sukakan gajet-gajet dalam X70 pada harga RM123k, anda boleh teruskan membeli model premium. Jika anda rasa semua itu tidak penting, maka model standard pada harga bawah RM100k cukup berbaloi.

    Jika anda sudah mampu membayar lebih RM1200 sebulan, apa kata tambah lagi RM200 ke RM300 sebulan untuk SUV Jepun seperti Mazda CX5 yang lebih baik dari segi handling atau Honda CRV yang lebih luas & selesa.

    Jika tidak kisah mengenai segmen SUV, Hyundai Tucson, Subaru XV, Subaru Forester, Nissan Xtrail atau Kia Sportage juga nampak menarik dalam julat harga Proton X70.

    Pandangan kami sememangnya berbeza.
    Bagaimana pula pandangan anda?

    Berikut Harga Proton X70 di semenanjung (P) dan di Langkawi (L) :

    Standard 2WD
    99,800.00 (P)
    85,047.00 (L)

    Executive 2WD
    109,800.00 (P)
    94,154.00 (L)

    Executive AWD
    115,800.00 (P)
    99,049.00 (L)

    Premium 2WD
    123,800.00 (P)
    107,146.00 (L)

    Please follow and like us:
    error

    info kereta Malaysia

    kdi

    Pecah fiber pecah gelas, sudah baca komenlah se das! Terima kasih! =) Yg benar, Brader K Majalah Kereta Malaysia - kereta info

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

    error

    Please spread & share :)